KUALA LUMPUR: “Saya hairan apabila tiba-tiba semua pengunjung diarahkan keluar serta-merta dari pusat beli-belah Suria KLCC sebelum menyedari satu restoran terbakar,” kata pereka grafik, Leow Wei Kai, 25, ketika ditemui, semalam.
Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, dapur sebuah restoran makanan barat di bangunan Suria KLCC terbakar menyebabkan 5,000 pengunjung pusat beli-belah itu diarahkan keluar untuk keselamatan.
Menurut Leow, ketika kejadian dia berada di kedai pakaian bersama dua rakan apabila pekerja kedai meminta pelanggan keluar dari bangunan dan mereka mahu menutup kedai.
“Walaupun tidak tahu apa yang berlaku, namun kami mengikut arahan kerana memikirkan sesuatu yang buruk berlaku.
“Sebaik keluar, saya mendapati pengunjung lain sudah berkumpul di kawasan lapang berhampiran kolam air pancut sebelum ternampak asap tebal keluar dari bumbung sebuah restoran,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Suria KLCC, Fartini Zaharudin berkata, sebanyak 380 kedai ditutup selama satu setengah jam selepas amaran kecemasan dihidupkan, manakala 5,000 pengunjung dan pekerja diarahkan mengosongkan bangunan setinggi enam tingkat bagi memudahkan kerja memadam api dilakukan.
Menurutnya, pasukan kecemasan Suria KLCC bertindak pantas sebaik penggera kecemasan mengesan berlaku sesuatu di premis yang terbakar.
“Kami segera mengarahkan pengunjung dan pekedai supaya mengosongkan bangunan sebagai memenuhi prosedur jika berlaku kecemasan.“Semua pengunjung dan pekedai mengikut arahan dan berkumpul di tempat selamat,” katanya.
Manakala, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, empat jentera dan 30 anggota dari Balai Jelatek, Pudu dan Hang Tuah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.28 petang.
Katanya, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk memadam kebakaran dan punca api serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
{ 2 comments... read them below or add one }
salam..
ermm..blog baru ke nih?
saya di lokasi kejadian
:)
31 Mac 2012 pada 12:59 PG
@Zulkifle Othman.
W'salam.
Dah lama la en.Zul cuma tak terjaga dengan betul je umpama hidup segan mati tak mau.
Ya ka? Mesti panik kan? Saya tak sempat nak terjah lagi..
31 Mac 2012 pada 1:06 PG
Catat Ulasan